Sunday, May 15, 2011

SELAMAT HARI GURU 2011



PERUTUSAN YANG DIPERTUA ALUMNI SMK ELOPURA
(AURA)



16 Mei 2011- Hari bersejarah untuk seluruh individu yang bergelar guru. Jasa mereka dalam mendidik dan memimpin anak bangsa tidak boleh disangkal lagi. Sejak dari zaman dahulu kala para nabi sehinggalah sekarang. Jika dilhat rentetan sejarah guru di tanah air kita ini, bermula dari zaman SITC iaitu Sultan Idris Training College di Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan kini Universiti Pendidikan Sultan Idris yang telah membangkitkan semangat nasionalisme rakyat jelata untuk membangunkan negara, bebas daripada cengkaman mutlak penjajah. Guru Pelita Hidup! bukan sahaja menerangi malah mengabdikan diri dalam membentuk anak bangsa untuk masa depan negara. Namun kalau dilihat secara mendalam, guru bukan sahaja mereka yang terlibat dalam Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertindak mengajar di sekolah, tetapi juga, mana-mana individu yang mengajarkan sesuatu yang baik dan baru kepada kita merupakan guru secara tidak langsung. Guru yang awal dalam diri setiap insan ialah kedua ibu bapa mahupun ahli keluarga yang membentuk diri kita tika kita kecil lagi. Dimana-mana sahaja kita sewajarnya menghormati guru dan sentiasa mewujudkan hubungan yang baik bersama mereka. Hubungan antara murid dan guru tidak seharusnya putus ketika tamatnya sesi persekolahan, biarlah guru menjadi insan yang sentiasa bersama kita walau apa pun status kita sekarang. Yang dulu sudah menjadi kenangan yang perlu disanjung dan dipelihara sebagai khazanah warisan pengalaman diri untuk dikongsikan bersama generasi muda.









Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara merupakan tema yang dipilih kali ini amat bersesuaian sekali mengikut keadaan dan zaman sekarang. Guru bertindak suara rakyat dari peringkat bawahan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung akan perit indah rakyat yang memerlukan pendidikan untuk ke arah kecemerlangan diri dan keluarga. Guru juga bertindak sebagai penggubal untuk meningkat imej perguruan dan kualiti pendidikan negara. Sememangnya sistem pendidikan negara perlu sentiasa dikaji dan diselidiki oleh mereka yakni guru-guru pakar yang masak dengan persekitaran masyarakat kita bermula dari kawasan bandar sehinggalah ke pedalaman.






Bila duduk, duduk berguru



Bila tegak, tegak bertanya



Bila merantau mencari ilmu



Bila berjalan mencari teladan



Bila berkayuh mencari contoh






Apa tanda guru bertuah



Tahu deiri dengan perinya



Tahu hak dengan kewajipannya






Sesungguhnya profesion perguruan perlulah dipandang tinggi dan mulia sesuai dengan bebanan tugasnya. Kelompok guru lazimnya mampu memandang jauh ke hadapan. Maka tidak hairanlah, ramai daripada kalangan pemimpin kita terdiri daripada mantan guru yang pernah bertugas sebelum menjadi pemimpin politik.






Apa tanda guru bertuah



Sempadan ilmu dengan imannya



Lahirnya hebat



Batinya sempurna






Satu lagi sifat guru ialah sifat rendah hati. Sifat ini cerminan akan kebesaran hati seorang guru, tahu diri dan menghormati orang lain.






Tanda guru rendah hati



Sombong dan bongkak dia jauhi



Bercakap besar ia tak sudi



Pantang memuji diri sendiri



Bermegah-megah ia hindari






Apa tanda guru terbilang



Dalam bergaul menghormati orang



Berkata lembut tidak temberang



Bersopan santun muka belakang



Hati lurus fikiran panjang



Membesarkan diri ia berpantang



Tahu diri banyak yang kurang






Sifat seperti inilah yang wajar dicontohi oleh kita yang bergelar murid, walau dimana jua kita berada. Sesungguhnya pengorbanan mereka merupakan satu nikmat yang terhingga kepada kita.Kepada seluruh guru-guru dan Ahli alumni SMKE, diucapkan selamat menyambut Hari Guru 2011! Sekian terima kasih.